Monday, May 30, 2011

Novel Dania Insyirah: Bab 3

Petang-petang begini selalunya aku lebih senang bersiar-siar di kawasan berhampiran ladang getah yang sedang menguning daunnya sambil mengutip biji-biji getah yang berguguran seandainnya tidak bersukan. Teringat pula aku pada filem Mohabbatein yang terkenal dengan simbol daun kuning yang berguguran dan dilakonkan oleh Shah Rukh Khan dan Aiswarya Rai. Untuk seketika aku merasakan seperti menjadi sebahagian daripada filem tersebut.

Setelah agak banyak biji getah yang aku kumpulkan di dalam tin susu yang kosong, aku akan pergi ke kolan ikan berhampiran pondok pengawal. Aku lebih tenang di situ sambil mencari ilham dan jalan penyelesaian untuk masalah yang melanda diri aku. Kolam ikan itu telah menjadi tempat aku menghabiskan masa sejak dari tingkatan 1  lagi. Tempat itu telah menyimpan seribu kenangan dan menyaksikan jatuh dan bangun hidup aku di MRSM Pendang.

Begitu tenang aku rasakan ketika memandang kolam yang dilitupi oleh pokok teratai yang tumbuh meliar sambil mencampakkan satu per satu biji getah yang aku kumpulkan  tadi. Bagi aku setiap satu biji getah yang aku campakkan itu melambang masalah yang mengganggu hidupku. Bukan beerti aku ingin mengelakkan diri dari masalah tersebut tetapi aku cuba mencari kekuatan untuk menyelesaikannya.Mungkin ini akan meringankan sedikit beban yang aku tanggung.Sejak dari dulu lagi aku sememangnya cukup sukar untuk berkongsi masalah dan perasaan aku dengan orang lain kerana sukar untuk aku mempercayai orang lain selain diriku sendiri. Lagi pula aku perlu menjadi teguh dan tabah kerana aku perlu menjadi contoh dan pelindung untuk adik-adikku pada masa hadapan.
 ...................................................................................................................................................................
           
Teringat aku kejadian beberapa hari yang lalu. Pada hari itu bekalan eletrik telah terputus untuk beberapa jam maka terpaksalah kami bergelap. Kebetulan pada malam itu adalah hari lahir Zaf yang ke-14. Zaf adalah jiran aku di bilik hadapan, maka untuk meraikan majlis tersebut aku, Atie, Azzah dan Teha telah bertandang ke bilik hadapan dengan sebiji kek mini yang kami beli di kafetaria untuk menyambut birthday Zaf. Teman sebilik Zaf yang lain juga turut memeriahkan susasana dengan jamuan ringkas yang telah mereka sediakan.

Walaupun jamuan tersebut dilakukan dalam keadaan yang gelap-gelita. Namun, segalanya begitu sempurna. Kebiasaannya hari lahir untuk pelajar asrama seperti kami akan disambut dengan pelbagai aktiviti yang menarik. Maklumlah, masing-masing jauh daripada keluarga. Jadi kami perlu saling mengambil berat antara satu sama lain.Cuma pada malam tersebut kami tidak begitu melakukan aktiviti yang agak ’ganas’ kerana takut akan mendapat habuan istimewa daripada Pak Sok.

Sedang aku duduk bersantai ditepi tangga asrama tiba-tiba Hani datang menghampiri aku. Fikir aku, mungkin Hani ingin menikmati angin malam yang indah ini. Setelah senyap untuk beberapa ketika Hani mula berbicara ” Dania, aku nak cakap dengan kau sikit. Tapi aku harap kau jangan tekejut pula”. Bicara Hani membuatkan jiwa aku sedikit terganggu.

”Apa yang kau nak cakapkan pada aku?” soal aku kepada Hani.

“Dua malam yang lepas, sewaktu prep aku ada dengar perbualan Adam dan ahli Devil group. Perbualan mereka adalah berkaitan kau” kata Hani

“Berkaitan aku? Kau memang dah buat aku rasa suspen jer” balas aku pada Hani. ”Apa yang mereka bualkan tentang aku?” sambung aku.

”Mereka berbual tentang pertaruhan ke atas kau” kata Hani.

”Pertaruhan ke atas aku? Tapi untuk apa mereka buat semua tu ke atas aku? Betul ke apa yang kau dengar Hani” soalku pada Hani dan diriku sendiri.

”Aku pasti apa yang aku dengar dengan telinga aku sendiri. Mereka bertaruh ke atas kau dengan hadiah yang bernilai RM 100. Seandainya sesiapa di antara mereka yang mampu menawan hati kau maka mereka akan menang pertaruhan tersebut” terang Hani kepada aku.

”Apa!... Mereka ingat aku ni barang mainan yang boleh dijadikan taruhan ke? Aku tak akan biarkan seorang pun daripada mereka akan menang dalam pertaruhan ni. Apa yang pasti hanya aku yang akan mengawal permainan ini”bidas aku dengan tegas.

“Jika ada Devil Group pastinya wujud Adam. Ini beerti Adam juga turut terlibat. Adam....kenapa harus kau lukakan hati aku dan permainkan maruah aku setelah aku mula mengagumi dirimu dalam diam” bisik aku di dalam hatiku sendiri dengan sendu yang aku tahan.

....................................................................................................................................................................

Kedatangan tahun 2003 ini telah membuatkan perjalanan hidup aku semakin padat. Maklumlah pada tahun ini aku berada di tingkatan 3 dan perlu bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan yang agak besar dalam hidup aku iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Bermula pada bulan Januari lagi pelbagai program akademik dan jati diri telah dirancang untuk pelajar tingkatan 3. Program yang amat aku nantikan ialah Kem Patriotik.

Hari ini semua pelajar tingkatan 3 perlu berkumpul di Dewan Besar bagi mendengar taklimat yang akan disampaikan oleh guru penyelaras PMR berkaitan Kem Patriotik. Pembahagian kumpulan juga akan dilakukan pada masa yang sama. Harap-harap aku akan dapat ahli kumpulan yang sememangnya satu kepala dengan aku. Aku hanya duduk dan memerhatikan sahaja kawasan dewan yang sesak dengan pelajar itu. Sudahlah sesak, panas pula. Ditambah lagi dengan keadaan yang berpeluh ini, kalau ikutkan hati lebih baik aku duduk di dalam kelas sahaja. Sebelum taklimat dimulakan, semua pelajar akan dibahagikan mengikut senarai nama yang telah ditetapkan. Setiap kumpulan akan mempunyai ahli yang terdiri dari kelas 3 Amanah, 3 Bestari, 3 Cekal, 3 Dedikasi, 3 Efisyen, 3 Futuristik dan 3 Harmoni.

Arahan dikeluarkan oleh Cikgu Mat Isa yang cukup terkenal dengan kesungguhannya. Cikgu yang bertubuh agak besar ini merupakan seorang guru yang cukup istimewa. Walaupun dia mengajar mata pelajaran pendidikan seni, tetapi beliau juga mempunyai kemahiran psikologi. Di dalam dewan tersebut telah dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu pada bahagian hadapan adalah untuk pelajar yang telah mempunyai kumpulan dan untuk bahagian belakang adalah untuk pelajar yang belum dibahagikan kumpulan.

Aku hanya menanti dengan penuh sabar kerana aku tahu nama aku akan dipanggil paling lewat. Ini kerana jika mengikut urutan huruf di dalam kelas nama aku berada paling bawah dalam senarai. Alangkah baiknya kalau ada orang lain yang namanya mempunyai abjak yang lebih bawah daripada aku.

Pada saat yang terluang itu, aku menghabiskan masa aku dengan memerhati rakan-rakan lain yang masih belum disebutkan nama mereka. Akhirnya, pandangan aku terhenti pada seraut wajah yang pernah meninggalkan luka dihati aku. Adam, lelaki yang satu itu masih belum mempunyai kumpulan. Sedangkan pada saat itu bilangan pelajar yang masih belum mempunyai kumpulan telah tinggal sedikit sahaja.

Tiba-tiba wujud satu perasaan yang resah dalam diri aku. Saat itu aku hanya mampu berdoa. Ya Allah, tolonglah aku. Janganlah kau satukan aku dan Adam dalam kumpulan yang sama. Sesungguhnya dia telah melukakan hati aku.

“Mohd Adam Zachary Dato’ Shukri”
“Nur Dania Insyirah Mohd Affendy”

Betapa saat itu lutut aku bagaikan begitu lemah dan seakan aku tak mampu untuk berdiri. Dalam doa yang masih bersisa itu. Akhirnya, telah tertulis dalam suratan takdir bahawa aku dan Adam berada dalam kumpulan yang sama. Bagaikan tersungkur di hadapan takdirku sendiri, aku mengambil tempat untuk berbaris di belakang Adam. Saat itu bagaikan wujudnya satu ruang sepi di antara kami berdua.

 ...................................................................................................................................................................

Friday, May 27, 2011

Novel Dania Insyirah: Bab 2

Bagi pelajar MRSM Pendang setiap malam minggu sebegini merupakan satu ganjaran dan saat-saat yang paling ditunggu-tunggu. Tapi walaupun bercuti study tetap kena buat. Kalau tak dapat khatam buku banyak kali pun dah kira cukup asalkan pegang buku sekejap. Orang kata ambil berkat.

Oleh kerana prinsip ini telah tertanam dalam diri semua pelajar MRSM Pendang, maka malam minggu pun akan ada juga pelajar yang akan pergi ke kelas sama ada untuk belajar atau menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh guru. Tetapi terdapat juga pelajar yang hanya datang ke kelas untuk mengambil buku dan kemudiannya pulang. Setelah itu, hala tuju mereka tidak dapat dikenal pasti sama ada balik ke bilik untuk menyiapkan tugasan atau pun sebaliknya dengan agenda yang tersendiri.

Selain itu, di sebalik keindahan malam yang disinari cahaya sang purnama malam ini merupakan satu peluang untuk kebanyakan pasangan muda untuk menghabiskan masa bersama. Maklumlah pada saat ini merupakan waktu anak-anak muda untuk belajar mengenal erti cinta dalam kehidupan.

Dari kejauhan, Dania yang lengkap bertudung hanya mengenakan kemeja hitam putih yang bercorak kotak-kotak kecil pemberian Mak Su serta seluar track suit yang berwarna hitam. Dia hanya berjalan sendirian menyusuri laluan balkoni ke blok akademik menengah rendah itu dengan hanya membawa bekas pensil kesayangannya. Dania begitu terleka dengan dunianya sendiri di sebalik muzik-muzik yang menjadi teman setia. Kadang-kala tubuhnya turut menari bersama bagi menghayati muzik yang didengari menerusi walkman yang diterima daripada Cik Lin kerana berjaya melanjutkan pelajaranku ke MRSM Pendang. Dengan langkah yang bersahaja Dania mengaturkan langkahnya ke kelas 2 Efisyen yang terletak di bahagian paling hujung tingkat 2.

“Eh, budak-budak lain tak datang kelas ke malam ni?” bicara Dania dalam hati dengan wajah yang sedikit berkerut. “Hehe…bagus juga dia orang tak datang kelas malam ni. Aman sikit dunia aku.”kata Dania perlahan sambil mengukir senyuman. Dunia ini ana yang punya.

Dania begitu asyik menghayati lagu yang berkumandang sambil turut menari sama mengikut rentak lagu December nyanyian Linking Park. Dania lebih senang begini kerana dia tidak akan merasakan masa yang berlalu ketika menghabiskan tugasan yang diterima. Dania sedang duduk di tempat duduknya yang terletak di barisan hadapan berhampiran pintu masuk ketika menghabiskan tugasan matematik.

Tiba-tiba kelihatan sekumpulan pelajar lelaki yang amat tidak disenangi oleh Dania. Mereka boleh dikira sebagai golongan pelajar lelaki yang terhangat di pasaran dan sentiasa menjadi rebutan gadis-gadis di sekolah. Ada sahaja yang mahu merapati mereka sama ada sebagai adik angkat, abang angkat atau yang lebih hebat lagi sebagai kekasih hati. Tetapi perasaan sebaliknya yang muncul dalam diri Dania saat dia terpandangkan wajah setiap seorang daripada mereka.Bukan perasaan kagum yang muncul dalam diri Dania tetapi dia seperti lebih tertarik untuk menjadi musuh ketat mereka.

“Ya Allah, kenapalah malang sangat nasib aku malam ni. Terpaksa pulak aku bertembung dengan makhluk yang paling aku benci atas muka bumi ni”kata Dania pada dirinya sendiri.

Tak berapa lama kemudian masuklah  Nashriq, Shahir,Amirul, Aizat dan Hakim ke dalam kelas 2 Efisyen yang pada asalnya hanya dihuni oleh Dania seorang sebagai tetamunya pada malam itu. Dania cuba untuk tidak mengendahkan kehadiran jejaka-jejaka yag dikatakan hangat itu kerana bagi Dania mereka semua tidak ubah seperti ais beku di kawasan kutub utara dan tidak mungkin akan lebur untuk selama-lamanya.

Dania tetap berusaha sepenuh kudaratnya untuk memberikan fokus yang sepatutnya diberikan sepenuhnya terhadap tugasan di depan mata. Akhirnya, lengkaplah ahli kumpulan ‘Devil Group’  apabila muncul ketibaan ahli yang terakhir iaitu Adam yang hanya mengenakan jersi putih pasukan bola sepak Manchester United .Dia hanya tersenyum saat memasuki kelas tersebut.

“Suka hati koranglah nak buat apa pun. Asal jangan mengganggu ketenteraman hidup aku yang mula terusik ni sudah. Kalau tidak , matilah korang semua nanti” sumpah Dania pelahan di dalam hati.

Nasib baiklah mereka semua hanya melakukan urusan masing-masing. Dania begitu khusyuk untuk menghabiskan tugasannya sehingga dia terleka dan tidak sedar bahawa terdapat sepasang mata yang memerhatikan dirinya dan hanya menunggu masa sahaja untuk bertindak. Tiba-tiba kerusi di sebelah Dania yang asalnya kosong, kini diduduki oleh insan yang menjadi musuh ketat Dania iaitu Adam.

Adam tetap tersenyum memandang Dania dengan senyuman yang dirasakannya paling menawan. Namun, bagi Dania senyuman Adam itu tetap tiada maknanya dan hanya mengganggu tumpuan serta menjengkelkan perasaan Dania. Dania tidak membalas walau sedikit pun senyuman dari bibir Adam itu. Tetapi Adam kelihatannya begitu setia menanti sebarang reaksi yang akan diberikan oleh Dania. Teman Adam yang lain kelihatan hanya menyambung urusan mereka dan menutup mata seperti mereka tidak melihat tindakan Adam yang cuba menghampiri Dania.

“Adam ni betul ke tidak. Mungkin ada litar pintas kot dalam otak mamat ni. Lagi pun dia sendiri jelas yang aku dan dia memang tak pernah boleh nak berbaik sejak daripada tingkatan satu lagi” Dania mengomel dalam hati.

“Arghhh!!!” Dania semakin tak boleh nak bertahan dengan renungan mata Adam. Walaupun Adam mungkin tidak mempunyai sebarang maksud terhadap Dania dengan renungannya itu. Tetapi sebagai seorang gadis Dania tetap merasakan sesuatu kerana bagi Dania Adam itu tetap seorang lelaki walaupun Adam adalah musuh ketatnya. Memang hamba Allah yang satu ni sengaja nak mengganggu ketenteraman hidup Dania.

“Wei, Adam! Kenapa dengan kau ni? Tengok aku macam tak pernah tengok pulak”soal Dania kepada Adam kerana dia tak selesa dengan pandangan mata Adam.

“Tak ada apa, Adam cuma suka tengok Dania buat kerja sekolah je. Muka tu serius betul, siap berkerut-kerut. Macam fikir masalah dunia je” balas Adam sambil tersenyum bagaikan kerang busuk. “Dania? Betul ke telinga aku ni atau pun salah dengar. Tak pernah ada orang lain panggil aku dengan nama Dania. Meremang bulu roma aku rasanya.Kena sampuk agaknya Si Adam ni” bicara Dania sendirian.

Apalah agaknya agenda peminat pasukan Manchester United ini agaknya? Tapi Dania malas nak berfikir sebab sekarang ni pun otaknya macam dah tepu dengan pelbagai nombor dan formula. Tiba-tiba bunyi kerusi diseret. Rupa-rupanya Adam telah merapatkan kerusi yang didudukinya menghampiri Dania. Tindakan Adam ini benar-benar membuatkan Dania rasa lain macam dan tidak selesa. Dania terpaksa menganjakkan kerusinya menjauhi Adam. Tetapi Adam tetap mengulangi tindakannya sehingga Dania rapat ke dinding.

“Budak ni memang sah mereng malam ni. Kalau pun dia nak buang tabiat, kenapa aku pulak yang kena jadi mangsa dia. Silap hari bulan mahu dapat side-kick daripada aku nanti ”. Dania lebih rela mendiamkan diri daripada melihat hasil kerjanya tidak selesai dengan sempurna. Bagi Dania, biarlah sekiranya Adam memi nak jadi teman setia aku malam ni pun. Bukan aku yang minta, dia sendiri yang murah hati nak datang bagi perkhidmatan percuma.

Adam merasakan tindakannya tidak mendapat respon yang positif daripada aku. Oleh itu, Adam mula mencapai sebatang pen Kilometrico yang berwarna biru milikku dari dalam bekas pensil. Adam yang memang cukup suka menyakat telah mengetuk-ngetuk pen tersebut di atas meja sehingga bunyi yang terhasil cukup untuk meragut tumpuannya. Dengan hati yang memang sedang panas membara, aku telah menghadiahkan jelingan mautku untuk musuhku yang satu itu.

“Amboi, Dania! Dahsyatnya jeling Adam. Tak apalah Adam anggap tu hadiah dari Dania untuk Adam.”kata Adam tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Sangkaku Adam akan berputus asa,tetapi rupanya sangkaanku meleset kerana Adam yang masih tak puas mngusik aku dengan beraninya telah mengalihkan kerusi yang asalnya berada di sisi aku kini berada di hadapan mejaku. Adam duduk bertentangan dengan aku. Dia hanya menongkat dagunya sambil memerhatikan aku. “Ya Allah, tolonglah hambamu yang lemah ini”rintih aku dalam hati.

“Alhamdulillah, selesai juga kerja aku akhirnya”. Aku bahagia kerana akhirnya aku akan terlepas daripada derita ini.Tibalah masa untuk aku membalas perbuatan Adam. Hati aku berbunga bahagia.Aku segera menyimpan semua buku aku di dalam meja, sambil tersenyum dengan nada yang perlahan aku berbicara kepada Adam “Adam….. dah puas belum Adam tengok muka Dania ni?”. Adam kelihatan sedikit terkejut, tetapi tetap tenang. “Kalau En.Adam rasa tak puas lagi. Bolehlah En. Adam duduk kat sini lama-lama sambil tengok dinding belakang tu sebab Cik Dania yang seorang ni dah nak balik dulu. Selamat tinggal”balas aku dengan rasa puas hati.
 ............................................................................................................................................

Petang hari Ahad ini entah apa agaknya mimpi Azzah, tiba-tiba sahaja dia mengajak aku menemaninya bermain bola jarring. Katanya lagi ramai lagi meriah. Tambahan pula, kumpulan Azzah kekurangan pemain dan tidak mempunyai “shooter” atau dengan nama lain ialah penjaring. Oleh kerana aku pernah memegang posisi sebagai “shooter” dan bahagian pertahanan di dalam kawasan jaringan sewaktu mewakili sekolah, maka menjadi satu markah tambahan untuk Azzah mengajak aku menyertai kumpulannya. Walau aku masih belum sampai ke peringkat mewakili negara, tapi sekurang-kurangnya aku boleh menyumbangkan sesuatu.

Aku masih berkira-kira sendirian tentang tawaran Azzah itu, tetapi disebabkan aku terasa bosan dan tak ada apa-apa rancangan maka aku menerima tawaran yang aku kira datang tepat pada masanya itu.

Tepat pukul 5.15 petang selepas selesai solat Asar aku segera bersiap-siap untuk turun ke padang. Aku hanya mengenakan t-shirt biru berlengan panjang yang mempunyai lambang ‘ADIDAS’, seluar sukan hitam berjenama ‘Cheetah Jr.’ serta bertudung hitam. Aku lebih selesa berpakaian gelap ketika bersukan kerana tidak mudah kelihatan kotor. Turut tidak ku lupakan kasut sukan kesayanganku yang hampir usang itu. Namun kasut itu tetap menjadi teman setiap setia setiap kali aku beriadah. Tapi nampaknya aku perlu membeli kasut yang baru kerana yang satu ini telah haus kerana selalu sangat diasah di atas laluan terturap.

Alhamdulillah cuaca petang ini agak redup, sekurang-kurangnya aku tak akan rentung dek panas mentari. “Manalah Mak Cik Azzah ni, kata suruh tunggu kat bawah ni. Tapi masalahnya batang hidung dia pun aku tak nampak lagi ni. Silap hari bulan tak sempat main dah habis air satu botol aku ni nanti”aku mengomel sendirian. 10 minit kemudian kelihatan Azzah berlari-lari anak manghampiri aku yang tetap setia menunggu dia macam tiang lampu. 

“Minta ampun tuanku Puteri Dania kerana hamba terlewat sampai. Harap tuanku tak akan murka pada hamba” kata Azzah sambil mengangkat kedua tangannya dengan lagak gaya sebagai dayang istana yang ketakutan. “ Banyaklah kau punya ampun. Jomlah jalan cepat. Nanti yang lain mengamuk pula sebab lama menunggu”

Setibanya kami di tempat yang dijanjikan, kelihatan yang lain tetap setia menunggu. Gelanggang bola jaring itu terletak berhampiran padang bola sepak yang dijadikan tempat latihan bagi pelajar menengah rendah menjalani latihan bola sepak. Kadang-kala padang tersebut turut dijadikan sebagai tempat latihan untuk sukan hoki. Setelah semuanya tiba, kami pun melakukan senaman ringan bagi memanaskan badan dan untuk mengelakkan kekejangan.
           
Selesai sesi regangan badan semua orang mengambil posisi masing-masing dan aku pula mengambil posisi sebagai penjaring. Walaupun jaringan aku tidaklah setajam sepakan gol David Beckham. Tapi sekurang-kurangnya, peratus untuk aku menyumbangkan mata bagi kumpulan aku masih tetap cerah. Terasa macam banggalah pulak. Dahsyat juga budak-budak ni bertahan. Macam nak putus nafas aku dibuatnya, siap mandi peluh lagi. Tapi tak apa, pahlawan handalan sejati memang slealunya kena serang bertubi-tubi pada permulaan. Namun, aku akan tetap bertahan sehingga ke akhirnya. “Yeah!”

“Wei, Intan! Baling bola tu kat aku” jerit aku kepada penyerang sayap kanan aku. Nampaknya balingan bola log Intan itu cukup cantik. Akhirnya bola yang bakal menjadi penentu johan berada di tangan aku kini. Posisi yang cukup cantik dalam lingkungan jaringan juga memberikan aku peluang tambahan. Nampaknya, semua harapan bergantung kepada aku sekarang. Tumpuan sepenuhnya aku berikan saat aku melambungkan bola itu kearah gol. Saat bola tersebut benar-benar berapa pada mulut lubang gol. Tiba-tiba berlaku sesuatu yang mampu membuatkan nafas aku terhenti.

“Dania!!! I love u !!!”

Jeritan itu berlaku tepat pada saat bola yang aku lontarkan memasuki jaring. Aku terus terduduk di atas lantai. Semua mata tertumpu ke arah datangnya suara itu, kemudian pandangan mereka dialihkan kepada aku. Saat itu badan aku ni macam dah beku. Mata aku sibuk melilau mencari empunya suara. Tetapi disebabkan aku rabun maka aku segera mencapai kaca mataku di tepi gelanggang. Setelah itu, mata aku tertancap pada satu batang tubuh yang cukup aku kenali dan sedang berdiri di tengah-tengah padang sambil tersenyum kea rah aku.

“Adam!” jerit aku di dalam hati. Biar betul, tak mungkin Adam yang menjerit nama aku sebentar tadi.

Semenjak peristiwa itu, aku dapat rasakan perasaan yang aneh setiap kali bertemu Adam. Bersyukurlah kerana Adam bukan satu kelas dengan aku. Namun, dia tetap selalu bertandang ke kelas aku kerana ingin bertemu dengan rakan-rakannya. Walaupun perasaan aneh itu kerap datang mengganggu tetapi aku tetap tolak semua itu ketepi kerana aku tidak mahu tumpuanku dalam pelajaran terganggu. Tambahan pula, egoku terhadap kaum Adam yang satu ini memang agak tinggi.

............................................................................................................................................


Wednesday, May 25, 2011

Novel Dania Insyirah: Bab 1

Minggu sesi suai kenal antara pelajar-pelajar baru akhirnya telah sampai ke penghujungnya. Maklumlah, kumpulan pelajar sesi tahun 2001 adalah anak sulung bagi Maktab Rendah Sains Mara Pendang. Boleh dikatakan semua kemudahan di sini masih baru dah tidak lengkap lagi. Kata orang belajar di mana-mana pun sama sahaja, asalkan ada kemahuan di situ ada jalan.

“Ermm… kalau ikutkan tentatif dalam jadual yang aku dapat, pukul 8.30 pagi ini patutnya ada program ceramah dengan kaunselor di Dewan Besar”. Sepanjang minggu ni, tiap-tiap hari pun memang akan dipenuhi dengan sesi ceramah yang sememangnya menjadi teman setia dan halwa telinga Dania. “ Tak boleh lewat ni. Kalau tidak, silap hari bulan nanti matilah aku kena gelak dengan budak-budak lelaki tu” bisik Dania sendirian. Itulah hadiah istimewa yang akan menanti pelajar yang hadir lewat ke program yang telah diaturkan.

Benar-benar tidak diduga oleh Nur Dania Insyirah Mohd Affendy, dalam banyak-banyak negeri dalam Malaysia ni, tercampak juga dia di negeri jelapang padi ni untuk meneruskan cita-cita dan impiannya. Namun, demi hasrat yang murni ini Dania tetap bertahan bagi menjadi contoh sebagai kakak sulung kepada adik-adiknya yang lain.
           
Di hadapan Dania saat ini tersergam bangunan empat tingkat yang sebahagian besarnya dilitupi dengan cermin kaca. Bangunan tersebut boleh diibaratkan sebagai sebuah rumah kaca gergasi. Apa yang membezakan ialah rumah kaca yang sebenar berfungsi untuk menanam tumbuhan yang sebenar tetapi rumah kaca di hadapan mata Dania ini adalah untuk memastikan jiwa-jiwa muda yang sedang membesar di dalamnya akan lahir menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Eh, aku ni patutnya duduk dalam kelas mana ek? Harap-harap janganlah tingkat atas sekali. Kalau tak... sah tak sampai tiga minggu dekat sini mesti berat aku turun 5 kg.” Kalau tak silap kelas Dania sepatutnya di 1 Futuristik. Erm… nama itu kalau hanya didengar saja pun dah mampu membuatkan Dania kecut perut. Tapi manalah duduknya kelas yang hebat sangat tu. Dania masih berkira-kira sendirian.

Sedang Dania mengatur langkah perlahan-lahan di balkoni tingkat dua itu. Tiba-tiba satu suara yang lunak  datang menyapa Dania. “Hai awak duduk kelas mana? Saya Alia Athirah kelas 1 Futuristik kat sana tu. Awak boleh panggil saya Atie”, kata gadis itu sambil menghulurkan salam perkenalan dan menunjukkan arah kelas 1 Futuristik. “Cantik juga budak ini”, gumam Dania sendirian di dalam hati. Dia terdiam sebentar cuba untuk mencari ayat yang sesuai. Sambil tersenyum, perlahan-lahan Dania menyambut salam perkenalannya. “Saya Dania, kelas 1 Futuristik. Selamat berkenalan.” Akhirnya satu persahabatan yang suci antara Dania dan Atie telah terjalin. Bermulalah perjalanan hidup Dania di MRSM Pendang ini. Segala pengalaman yang akan mengajarnya erti sebuah kehidupan sedang menanti dengan penuh debaran di hadapan.

....................................................................................................................................................................

“Kring…………” Nasib baik waktu rehat dah sampai. Bolehlah juga Dania mengisi perutnya dengan dua ketul kuih di dewan selera. Kalau ada rezeki lebih dapatlah lebih sikit. Lagi pun dari tadi lagi perutnya ni sibuk mengalunkan rentak irama daripada irama Etnik Malaysia sampailah irama Pop Rock. Kalau nak harapkan makanan kat kafetaria, Dania tak boleh selalu boros sebab poketnya ini nipis saja. Maklumlah hidup sebagai pelajar ni cuma mengharapkan ehsan mama, abah dan biasiswa MARA setiap bulan. Lagi pula Dania sejak dari kecil lagi memang dah dididik supaya tidak membazir.

“Bilalah nak sampai giliran aku ni” Memang bertuah badan Dania sebab ada kawan macam Atie. Temannya yang seorang ni memang cukup penyabar dan memahami.Kalau Atie tak tolong Dania berbaris pasti dia dah jadi orang yang paling akhir sekali. Ini semua berpunca dari Cikgu Aina yang meminta tolong Dania untuk bawakan barang ke bilik guru.

“Tak baik merungut Dania. Itu tandanya Cikgu Aina tu sayang dan percaya pada kau. Tambahan lagi, kau pun dapat pahalakan. Betul tak?”kata Atie.

Betul juga kata Atie. Tetapi Atie memang selalu macam tu. Kalau hendak dibandingkan Dania dengan Atie. Mereka berdua ibarat langit dan bumi, tetapi kerana itulah saling melengkapi hidup di sini dan menyebabkan mereka menjadi sahabat. Tambah beruntung lagi, sekarang Atie juga turut menjadi teman sebilik Dania di asrama. Atie merupakan seorang yang feminin,lemah-lembut dan penyabar tetapi Dania pula mempunyai sifat yang bertentangan.

“Eh, Dania. Kenapa ramai sangat orang kat papan kenyataan tu? Jom pergi tengok nak tak?” Atie mengajukan pertanyaan kepada Dania. Belum sempat Dania memberikan jawapan, Atie segera menarik tangannya menuju ke arah kumpulan pelajar di hadapan papan kenyataan. Dania cuba memanjangkan leher untuk melihat apa yang dipaparkan di papan kenyataan.

Tiba-tiba Dania dikejutkan dengan satu suara. “Woi! Apa ni pijak kasut aku. Ketepilah.” Dania terkejut sebentar dan segera melihat kearah lantai dan mendapati bahawa dia telah memijak kasut seorang budak lelaki yang dirasakan sebaya dengannya sehingga meninggalkan sedikit kesan kotor. Dania segera meminta maaf pada budak lelaki tersebut, sangkanya kemarahan budak lelaki itu akan reda. Tetapi sangkaannya meleset kerana budak itu berterusan memuntahkan larvanya.

“Woi! Aku dah minta maaf tu sudahlah. Kau ni apsal kecoh sangat la. Habis, kau nak aku buat apa? Kau ingat kau tu bagus sangat ke?” Dania menghamburkan segala kemarahannya sambil menatap mata budak lelaki itu walaupun ada getar dalam hatinya.

“Erm…Nur Dania Insyirah. Nama yang sedap tapi tak sepadan dengan tuannya” balas budak tersebut dengan nada sinis sambil mencapai tag nama yang  dipakai oleh Dania.
“Apa kau cakap mamat sengal!” bidas Dania dengan suara yang tinggi.

Disebabkan takut pergaduhan tersebut menjadi lebih hebat, Atie telah bertindak pantas dengan menarik Dania berlalu dari situ. Kalau diikutkan hati Dania rasanya lagi teruk akan dia kerjakan budak yang perasan bagus tu.

“Bengong betullah mamat tu. Kau tahu tak budak kelas mana tu Atie?” tanya Dania pada Atie.

“Dania……kalau tak silap aku budak yang kau marah tadi tu nama dia Adam. Budak yang paling terkenal dan ahli kumpulan ‘Devil Boy’. Dia tu belajar di kelas 2 Amanah. Boleh dikatakan budak pandailah” balas Atie.

“Erm……memang dah ada ciri-ciri devil pun. Sesuai sangatlah nama tu dengan dia”.Menyampah betul Dania dengan makhluk yang bernama Adam tu.

....................................................................................................................................................................

Setelah selesai solat Isyak berjemaah di surau , semua pelajar berpusu-pusu pulang ke bilik masing-masing. Begitulah rutin harian pelajar MRSM Pendang. Kelihatan Siti Fateha, Ain Azzah dan Atie Nazirah yang merupakan teman sebilik Dania di sini sedang sibuk bersiap-siap untuk keluar. Entah ke manalah arah tujuan mereka malam-malam begini. Tapi Dania lebih selesa bertindak sebagai pemerhati kerana penat akibat latihan silat petang tadi masih tak hilang lagi.
           
“Wei, Dania! Kau nak ikut kita orang tak? Malam ni ada cerita Charmed kat  NTV7”, kata Azzah.

“Kalau nak , jomlah pergi awal sikit. Kalau tak nanti penuhlah”, tingkah Teha.

Dengan nada malas, Dania menolak lembut pelawaan mereka yang setia menantinya dengan wajah sekupang itu secara terhormat kerana tak mahu mareka terasa hati. Bagi Dania rehatnya itu lebih penting berbanding cerita televisyen kerana dia tidak mahu keletihan pada keesokan harinya ketika waktu sekolah kerana tidak cukup rehat. Dia terleka sebentar membilang saat yang berlalu. Tanpa disedari, entah sejak bila Dania  terlena. Beberapa saat kemudian yang terdengar hanyalah hembusan lembut nafas Dania diiringi ombak dadanya yang memaparkan keletihan yang ditanggungnya.
           
“DUMPP!!” Bunyi benda jatuh yang entah datangnya dari mana telah mengejutkan Dania dari tidurnya yang nyenyak. Saat matanya dibuka , Dania melihat biliknya masih lagi cerah bercahaya. Namun, Dania hanya bersendirian di dalam bilik tersebut. Dia tertanya-tanya di mana agaknya Teha, Azzah dan Atie waktu-waktu begini sedangkan jam telah menunjukkan pukul 12.30 malam.

Tiba-tiba Dania terdengar bunyi satu suara halus dari luar tingkap biliknya. Dania yang masih dalam perasaan kebingungan segera pergi membuka tingkap dan melihat terdapat sekumpulan pelajar perempuan sedang berkumpul di hadapan dewan makan. Degupan jantungnya semakin kencang, rasanya kalau ditoreh pun semua kulit di badan Dania di saat ini pastinya tidak akan ada darah yang mengalir. Apa yang paling ditakuti akhirnya menjadi nyata dan mimpi ngeri Dania malam itu. Masakan dia tak tahu sebarang maklumat pun berkaitan “roll-call” yang dibuat oleh ketua warden yang cukup terkenal dengan dan amat digeruni itu iaitu Cikgu Shukri atau lebih dikenali dengan nama Pak Sok.

“Wargh! Matilah aku kali ni, mesti kena voodoo dengan Pak Sok ni”, kata Dania memberi amaran pada diri sendiri.

Saat ini Dania merasakan bahawa dia sedang menghadapi sumpahan yang paling dahsyat dalam hidupnya seperti ini adalah saat pengakhiran kehidupan. Tanpa menunggu dengan lebih lama lagi Dania segera mencapai tudungnya serta baju sejuk kerana dia hanya berbaju lengan pendek dan segera turun untuk menghadapi hukuman mandatori daripada Pak Sok. “Ya Allah, bantulah hambamu ini”.Hanya itu yang mampu dia bisikkan ke dalam hatinya sebagai peniup  semangat.

Ketika Dania berdiri di tangga berhampiran tempat pelajar lain berkumpul, semua mata tertumpu kepadanya. Pak Sok yang saat itu sedang memberikan syarahan keramatnya juga tiba-tiba terhenti dan melihat kearah Dania dengan penuh tanda tanya. Tanpa dipinta Dania yang masih lagi mengantuk bagai dipukau segera datang berhadapan Cikgu Shukri untuk memberikan penjelasan. Bagaikan banduan di penjara yang datang memberikan laporan harian.

“Minta maaf cikgu. Saya tertidur tadi , tak tahu pula yang cikgu ada buat roll-call malam-malam macam ni”, terang Dania pada Pak Sok dengan muka yang mengantuk.

“Nama kamu siapa? Jadi buat apa kamu tiba-tiba turun?” soal Pak Sok dengan nada yang serius.“Ait... dah buat roll-call mestilah aku turun. Takkan aku nak naik pula kot?” soal Dania dalam hati. Dia sendiri tak pasti sama ada Pak Sok benar-benar serius atau sengaja berlakon serius di hadapannya.

“Nama saya Nur Dania Insyirah Mohd Affendy. Tadi waktu saya bangun dari tidur, saya tengok semua roommate saya tak ada dan saya tengok ada roll-call kat bawah ni sebab tu lah saya turun sebab saya takut roommate saya kena denda pula”,kata Dania cuba membela dirinya yang dirasakan tak bersalah.

“Mana roommate kamu pergi? Kena culik ke?”

“Manalah saya tahu ,cikgu. Apa yang saya tahu roommate saya dah hilang” kata Dania yang tidak mahu mengaku kalah. Tiba-tiba sahaja semua yang ada di situ tergelak dengan apa yang dikatakan oleh Dania. Dia sendiri bingung dengan apa yang terjadi kerana dia sendiri tak sedar dengan apa yang terjadi kerana mindanya sendiri pada waktu itu berada pada keadaan separa sedar.

Setelah selesai sesi gelak ketawa, akhirnya Dania pun mengambil tempat menyertai pelajar lain. Dia pun terpaksa mendengar sambungan syarahan Pak Sok. Sepuluh minit kemudian mereka semua dibenarkan bersurai. “Ya Allah, banyak ni je syarahan Pak Sok. Buat penat je aku turun tadi,siap dapat malu yang berguni-guni pulak tu”. Semenjak insiden tesebut Dania benar-benar telah dikenali bukan hanya di kalangan pelajar perempuan tingkatan 1 tetapi juga pelajar perempuan tingkatan 4 dengan gelaran ‘budak hilang bilik’.Tercipta satu sejarah hidupnya. Mungkin agak memalukan. Namun, Dania pasti masih mampu bercerita dengan senyuman pada anak-anak dan cucunya nanti.


Sesuatu Yang Menarik Minat

Related Posts with Thumbnails