Petang-petang begini selalunya aku lebih senang bersiar-siar di kawasan berhampiran ladang getah yang sedang menguning daunnya sambil mengutip biji-biji getah yang berguguran seandainnya tidak bersukan. Teringat pula aku pada filem Mohabbatein yang terkenal dengan simbol daun kuning yang berguguran dan dilakonkan oleh Shah Rukh Khan dan Aiswarya Rai. Untuk seketika aku merasakan seperti menjadi sebahagian daripada filem tersebut.
Setelah agak banyak biji getah yang aku kumpulkan di dalam tin susu yang kosong, aku akan pergi ke kolan ikan berhampiran pondok pengawal. Aku lebih tenang di situ sambil mencari ilham dan jalan penyelesaian untuk masalah yang melanda diri aku. Kolam ikan itu telah menjadi tempat aku menghabiskan masa sejak dari tingkatan 1 lagi. Tempat itu telah menyimpan seribu kenangan dan menyaksikan jatuh dan bangun hidup aku di MRSM Pendang.
Begitu tenang aku rasakan ketika memandang kolam yang dilitupi oleh pokok teratai yang tumbuh meliar sambil mencampakkan satu per satu biji getah yang aku kumpulkan tadi. Bagi aku setiap satu biji getah yang aku campakkan itu melambang masalah yang mengganggu hidupku. Bukan beerti aku ingin mengelakkan diri dari masalah tersebut tetapi aku cuba mencari kekuatan untuk menyelesaikannya.Mungkin ini akan meringankan sedikit beban yang aku tanggung.Sejak dari dulu lagi aku sememangnya cukup sukar untuk berkongsi masalah dan perasaan aku dengan orang lain kerana sukar untuk aku mempercayai orang lain selain diriku sendiri. Lagi pula aku perlu menjadi teguh dan tabah kerana aku perlu menjadi contoh dan pelindung untuk adik-adikku pada masa hadapan.
Teringat aku kejadian beberapa hari yang lalu. Pada hari itu bekalan eletrik telah terputus untuk beberapa jam maka terpaksalah kami bergelap. Kebetulan pada malam itu adalah hari lahir Zaf yang ke-14. Zaf adalah jiran aku di bilik hadapan, maka untuk meraikan majlis tersebut aku, Atie, Azzah dan Teha telah bertandang ke bilik hadapan dengan sebiji kek mini yang kami beli di kafetaria untuk menyambut birthday Zaf. Teman sebilik Zaf yang lain juga turut memeriahkan susasana dengan jamuan ringkas yang telah mereka sediakan.
Walaupun jamuan tersebut dilakukan dalam keadaan yang gelap-gelita. Namun, segalanya begitu sempurna. Kebiasaannya hari lahir untuk pelajar asrama seperti kami akan disambut dengan pelbagai aktiviti yang menarik. Maklumlah, masing-masing jauh daripada keluarga. Jadi kami perlu saling mengambil berat antara satu sama lain.Cuma pada malam tersebut kami tidak begitu melakukan aktiviti yang agak ’ganas’ kerana takut akan mendapat habuan istimewa daripada Pak Sok.
Sedang aku duduk bersantai ditepi tangga asrama tiba-tiba Hani datang menghampiri aku. Fikir aku, mungkin Hani ingin menikmati angin malam yang indah ini. Setelah senyap untuk beberapa ketika Hani mula berbicara ” Dania, aku nak cakap dengan kau sikit. Tapi aku harap kau jangan tekejut pula”. Bicara Hani membuatkan jiwa aku sedikit terganggu.
”Apa yang kau nak cakapkan pada aku?” soal aku kepada Hani.
“Dua malam yang lepas, sewaktu prep aku ada dengar perbualan Adam dan ahli Devil group. Perbualan mereka adalah berkaitan kau” kata Hani
“Berkaitan aku? Kau memang dah buat aku rasa suspen jer” balas aku pada Hani. ”Apa yang mereka bualkan tentang aku?” sambung aku.
”Mereka berbual tentang pertaruhan ke atas kau” kata Hani.
”Pertaruhan ke atas aku? Tapi untuk apa mereka buat semua tu ke atas aku? Betul ke apa yang kau dengar Hani” soalku pada Hani dan diriku sendiri.
”Aku pasti apa yang aku dengar dengan telinga aku sendiri. Mereka bertaruh ke atas kau dengan hadiah yang bernilai RM 100. Seandainya sesiapa di antara mereka yang mampu menawan hati kau maka mereka akan menang pertaruhan tersebut” terang Hani kepada aku.
”Apa!... Mereka ingat aku ni barang mainan yang boleh dijadikan taruhan ke? Aku tak akan biarkan seorang pun daripada mereka akan menang dalam pertaruhan ni. Apa yang pasti hanya aku yang akan mengawal permainan ini”bidas aku dengan tegas.
“Jika ada Devil Group pastinya wujud Adam. Ini beerti Adam juga turut terlibat. Adam....kenapa harus kau lukakan hati aku dan permainkan maruah aku setelah aku mula mengagumi dirimu dalam diam” bisik aku di dalam hatiku sendiri dengan sendu yang aku tahan.
Kedatangan tahun 2003 ini telah membuatkan perjalanan hidup aku semakin padat. Maklumlah pada tahun ini aku berada di tingkatan 3 dan perlu bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan yang agak besar dalam hidup aku iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Bermula pada bulan Januari lagi pelbagai program akademik dan jati diri telah dirancang untuk pelajar tingkatan 3. Program yang amat aku nantikan ialah Kem Patriotik.
Hari ini semua pelajar tingkatan 3 perlu berkumpul di Dewan Besar bagi mendengar taklimat yang akan disampaikan oleh guru penyelaras PMR berkaitan Kem Patriotik. Pembahagian kumpulan juga akan dilakukan pada masa yang sama. Harap-harap aku akan dapat ahli kumpulan yang sememangnya satu kepala dengan aku. Aku hanya duduk dan memerhatikan sahaja kawasan dewan yang sesak dengan pelajar itu. Sudahlah sesak, panas pula. Ditambah lagi dengan keadaan yang berpeluh ini, kalau ikutkan hati lebih baik aku duduk di dalam kelas sahaja. Sebelum taklimat dimulakan, semua pelajar akan dibahagikan mengikut senarai nama yang telah ditetapkan. Setiap kumpulan akan mempunyai ahli yang terdiri dari kelas 3 Amanah, 3 Bestari, 3 Cekal, 3 Dedikasi, 3 Efisyen, 3 Futuristik dan 3 Harmoni.
Arahan dikeluarkan oleh Cikgu Mat Isa yang cukup terkenal dengan kesungguhannya. Cikgu yang bertubuh agak besar ini merupakan seorang guru yang cukup istimewa. Walaupun dia mengajar mata pelajaran pendidikan seni, tetapi beliau juga mempunyai kemahiran psikologi. Di dalam dewan tersebut telah dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu pada bahagian hadapan adalah untuk pelajar yang telah mempunyai kumpulan dan untuk bahagian belakang adalah untuk pelajar yang belum dibahagikan kumpulan.
Aku hanya menanti dengan penuh sabar kerana aku tahu nama aku akan dipanggil paling lewat. Ini kerana jika mengikut urutan huruf di dalam kelas nama aku berada paling bawah dalam senarai. Alangkah baiknya kalau ada orang lain yang namanya mempunyai abjak yang lebih bawah daripada aku.
Pada saat yang terluang itu, aku menghabiskan masa aku dengan memerhati rakan-rakan lain yang masih belum disebutkan nama mereka. Akhirnya, pandangan aku terhenti pada seraut wajah yang pernah meninggalkan luka dihati aku. Adam, lelaki yang satu itu masih belum mempunyai kumpulan. Sedangkan pada saat itu bilangan pelajar yang masih belum mempunyai kumpulan telah tinggal sedikit sahaja.
Tiba-tiba wujud satu perasaan yang resah dalam diri aku. Saat itu aku hanya mampu berdoa. Ya Allah, tolonglah aku. Janganlah kau satukan aku dan Adam dalam kumpulan yang sama. Sesungguhnya dia telah melukakan hati aku.
“Mohd Adam Zachary Dato’ Shukri”
“Nur Dania Insyirah Mohd Affendy”
Betapa saat itu lutut aku bagaikan begitu lemah dan seakan aku tak mampu untuk berdiri. Dalam doa yang masih bersisa itu. Akhirnya, telah tertulis dalam suratan takdir bahawa aku dan Adam berada dalam kumpulan yang sama. Bagaikan tersungkur di hadapan takdirku sendiri, aku mengambil tempat untuk berbaris di belakang Adam. Saat itu bagaikan wujudnya satu ruang sepi di antara kami berdua.
No comments:
Post a Comment